KUALA LUMPUR: Syarikat sarung tangan getah, Semperit Aktiengesellschaft Holding of Austria (Semperit AG) bercadang melepaskan pegangannya dalam Pengilang sarung tangan getah Latexx Partners Bhd.
Menurut sumber, Latexx Partners yang dinyah senarai dari Bursa Malaysia pada Jun 2013 selepas diambil alih syarikat berpangkalan di Austria ditawarkan pada harga sekitar RM300 juta.
Sumber itu berkata, Top Glove Corp Bhd dan MQ Technology Bhd (MQTech) muncul sebagai calon utama menjadi pemilik baru Latexx Partners.
"Rundingan harga mungkin lebih mudah dicapai oleh Top Glove yang memiliki pemodalan pasaran RM42 bilion dan menjadi nama besar dalam perniagaan berkaitan.
"Alternatif lain pula daripada syarikat lebih kecil seperti MQ Technology Bhd yang boleh dimuktamadkan menerusi pembayaran tunai di tambah dengan terbitan saham baharu. Ia boleh menjadi pilihan yang lebih bijak untuk menjadi sebahagian syarikat senaraian awam," katanya.
Latexx Partners mempunyai kemudahan pembuatan di Kamunting Industrial Estate di Perak.
Syarikat itu diambil alih oleh Semperit AG pada harga RM2.30 sesaham dan warannya pada RM1.77 pada tahun 2013.
Pengambilalihan itu kemudian menjadikan Semperit AG sebagai pengeluar sarung tangan getah kedua terbesar di dunia selepas Top Glove.
Antara anak syarikat Latexx Partners ialah Latexx Manufacturing Sdn Bhd yang berfungsi sebagai pengeluar sarung tangan getah, selain Medtexx Manufacturing Sdn Bhd terbabit dengan perdagangan sarung tangan getah dan penyewaan kilang dan mesin pembuatan sarung tangan.
Selain itu Latexx Partners juga memiliki Total Glove Company Sdn Bhd, syarikat yang merawat dan memproses getah getah asli sarung tangan pemeriksaan dan pembedahan, serta Worldmed Manufacturing Sdn Bhd, yang turut berfugsi sebagai pedagang sarung tangan getah.
Sumber berkata, dengan krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19, MQTech sedang meninjau peluang meneroka industri sarung tangan perubatan.
Katanya, MQTech percaya industri berkenaan akan terus menjana keuntungan dalam tempoh terdekat.
"Justeru, perjanjian ini turut membabitkan MQTech dan hasil positif mungkin dapat dicapai dalam tempoh beberapa hari," kata sumber yang ingin identiti didedahkan.
Semperit AG adalah syarikat antarabangsa yang membangun, menghasilkan dan menjual produk getah khusus untuk sektor perubatan dan perindustrian seperti sarung tangan pemeriksaan dan pembedahan, hos hidraulik dan industri, tali sawat, pemegang eskalator, profil pembinaan , komponen kereta kabel dan produk untuk super-struktur kereta api.
Syarikat yang diasaskan pada 1824 beribu pejabat di Vienna selain turut mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) global di Wimpassing, Lower Austria.
Semperit AG memiliki sekitar 6,900 pekerja di seluruh dunia termasuk hampir 3,600 di Asia dan kira-kira 900 lagi di Austria (Vienna dan kemudahan pengeluaran di Wimpassing, Lower Austria).
Kumpulan terbabit memiliki 14 kemudahan pembuatan di seluruh dunia dan beberapa pejabat jualan di sekitar Eropah, Asia, Amerika dan Australia.
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/06/701630/semperit-ag-mahu-jual-pengilang-getah-latexx-partners-rm300-juta